KETIKA membaca komen-komen netizen di media sosial berkenaan berita politik yang agak panas kebelakangan ini, rata-rata mereka menyatakan muak dengan isu yang tidak berkesudahan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Muak bukan sebab apa, ketika pandemik Covid-19 mencapai angka tertinggi 20,596 kes semalam, masih ada pihak yang mahu tukar kerajaan atau tukar Perdana Menteri.
Kata mereka, jika Perdana Menteri baharu ada penawar untuk pesakit Covid-19, silalah tukar.
“Jika kerajaan baharu itu nanti ada kuasa ajaib boleh sembuhkan semua pesakit di unit rawatan rapi hospital akibat Covid-19, silalah tukar sekarang,” ujar seorang netizen di ruangan komen itu.
Kata seorang lagi netizen; “Jika semua itu tidak dapat dilakukan oleh Perdana Menteri baharu atau kerajaan baharu itu, sila lupakan hasrat bertelingkah satu sama lain sekarang.”
Ada benarnya komen netizen berkenaan, rakyat sudah penat, rakyat sudah muak dengan permainan politik yang tidak berkesudahan sejak 8 Mei 2018, malah berpanjangan sebelum itu lagi.
Sepatutnya dalam keadaan sekarang, semua parti politik bersatu dan solidariti membantu rakyat dalam keadaan perit sekarang.
Ada yang hilang kerja, kematian ibu bapa, anak, suami, isteri, datuk, nenek, saudara dan kawan-kawan di kejiranan, malah di tempat kerja.
Terdapat juga surau atau masjid yang sudah ketiadaan imam dan jemaah tetap di situ akibat diragut virus Covid-19.
Rakyat juga sudah penat menunggu untuk pulang ke kampung bertemu ibu bapa seperti kebiasaan disebabkan pandemik yang entah bila akan bersisa.
Penderitaan yang ditanggung akibat Covid-19 sungguh perit, setiap hari akhbar ini menyiarkan kisah masyarakat yang terkesan.
Ada yang hilang segala-galanya sehingga berjalan empat beranak dalam panas terik untuk mencari tempat berteduh.
Perkara itu sangat menyedihkan ketika negara bergolak dengan isu politik.
Jangan sampai rakyat bosan dengan politik negara ini dengan menterjemahnya tidak membuang undi ketika Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.
Ketika itu mungkin rakyat sudah tidak peduli lagi dengan gula-gula ketika kempen politik, apa yang mereka mahu adalah meneruskan kehidupan sahaja. -K! ONLINE