fbpx

Hari-hari pecah rekod kalah Sukan Olimpik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Poster yang direka oleh pihak tertentu yang mengambarkan kes Covid-19 di negara ini.

PETALING JAYA – Peningkatan angka jangkitan Covid-19 sebanyak 20,889 kes hari ini dilihat tidak lagi mengejutkan rakyat yang seakan-akan sudah menjangka ia terus menunjukkan trend menaik buat masa ini.

Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati kesabaran orang ramai sudah sampai kemuncak pada masa yang sama mereka penat memikirkan hala tuju perang melawan Covid-19 negara yang masih tidak menujukkan hasil meyakinkan.

Kebanyakan rakyat meluahkan rasa tertekan dan kecewa selain ada yang bagai hilang kata-kata untuk menggambarkan kesusahan yang dialami dalam tempoh yang dianggap paling getir ini.

“Bila hendak selesai. Kami sudah dua bulan duduk di rumah tiada pendapatan. Bantuan perlahan macam kura-kura. Sampai bila hendak hadap semua ini,” ujar Wan Kamarul.

“Ramai kenalan yang sudah dijangkiti Covid-19. Ada yang meninggal dunia. Kami merayu sangat-sangat lakukan sesuatu supaya kes turun. Tolonglah,” kata Fatin Azmi.

“Kami sudah tepu duduk di rumah. Kasihan anak-anak. Tidak tahu hendak buat apa lagi. Tetapi kes tidak turun-turun. Kita yang dewasa mungkin boleh tahan sedikit lagi. Tetapi budak-budak tengah aktif memang kasihan sangat,” ujar Wan Abu Bakar.

“Hampir setiap hari kes akan mencatat angka tertinggi. Pemimpin atasan bertelagah merebut kuasa. Kematian saban hari semakin tinggi. Rakyat semakin sengsara,” tulis Khatijah Cheram.

“Tolonglah rakyat Malaysia. Berilah sedikit komen positif. Kita sangat memerlukannya sekarang ini,” kata Alsharif Amin Amin.

Ada juga segelintir rakyat Malaysia menyifatkan peningkatan kes Covid-19 sama rancak dengan kehangatan Sukan Olimpik yang berlangsung di Tokyo, Jepun sekarang.

“Sebagai rakyat amat berbangga. Rekod Sukan Olimpik setiap empat kali setahun baru bertukar. Tetapi kita di Malaysia hari-hari mencipta rekod baharu. Terbaik,” sindir Sara Lya.

“Jose Mourinho pernah berkata, rekod bukan untuk dipegang tetapi untuk dipecahkan,” kata Igat Anja Cfg.

“Tiap-tiap hari pecah rekod. Sudah berapa pingat emas kita dapat?,” komen Khairul Azlan Abdul Rashid.

“Tahniah negeri Selangor penyumbang utama. Dengar cerita semalam ‘bersepah’ macam pasar malam datang ambil vaksin,” ulas Safawati Tahiruddin

Akaun Facebook rasmi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang berkongsi perkembangan kes Covid-19 turut menjadi tumpuan pengguna media sosial yang semakin resah dengan perkembangan hari ini.

“Tan Sri walaupun saya sudah lengkap dua dos saya tetap takut hendak ke mana-mana kami rakyat semua berada dalam ketakutan. Kami menunggu keajaiban. Kami semua rindu keluarga sudah hampir lapan bulan tidak balik kampung,” tulis Vanila Ice.

“Lepas ini kalau umum kelonggaran untuk yang lengkap dos vaksin boleh rentas merentas semakin bertambah sengsara kita. Macam tidak berguna duduk berkurung selama ini,” ujar Wan Ji.

“Perlis kalau sudah dua digit sudah tidak boleh makan di kedai atau restoran,” kata Asraf Awaluddin yang merujuk sembilan kes baharu Covid-19 direkodkan di Perlis hari ini. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI