SHAH ALAM – Penasihat Khas Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang baharu dilantik semalam akan memfokuskan kepada pemerkasaan sosio ekonomi rakyat ketika pandemik Covid-19.
Ahmad Faizal berpendapat bahawa beberapa sektor ekonomi perlu dibuka secara berperingkat supaya rakyat kembali mendapat pendapatan semula.
Kata beliau, ini termasuk memperkenalkan pelan atau langkah strategik supaya jumlah kes Covid-19 tidak meningkat apabila sektor-sektor yang akan dikenalpasti nanti dimulakan semula.
“Segala keluhan rakyat akan saya dengari dan akan disampaikan kepada Perdana Menteri. Insya-Allah, Kerajaan Pusat akan melakukan sebaik mungkin untuk mengatasi masalah pandemik Covid-19 serta ekonomi yang kini membelenggu negara.
“Saya berharap dapat membantu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dari segi nasihat dan pencambahan idea yang bernas supaya sosioekonomi rakyat kembali dalam keadaan terbaik,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvokesyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.
Semalam, Ahmad Faizal dilantik sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri dengan skop tugasnya adalah untuk menasihat Perdana Menteri dari segi hal ehwal jalinan komuniti, komunikasi masyarakat dan pembangunan sosioekonomi.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal yang merupakan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meminta ahli parlimen berhenti bertelagah mengenai keabsahan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri buat seketika demi kebaikan rakyat dan negara. -K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929