KUALA LUMPUR – Seorang bekas penyelia kilang yang pernah didakwa atas kesalahan Ordinan Darurat kerana menyebar berita palsu kematian seorang anggota polis akibat vaksin, didakwa pula di Mahkamah Sesyen di sini kali ini atas pertuduhan komunikasi jelik terhadap Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung kesan pengambilan vaksin.
Bagaimanapun tertuduh Muhammad Zaki Omar, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dihadapan Hakim M.M Edwin Paramjothy.
Mengikut pertuduhan, bapa lima anak itu didakwa secara sedar dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya terhadap KKM dan kesan pengambilan vaksin dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui perkhidmatan Facebook dengan menggunakan nama profil ‘Muhammad Zaki Omar’.
Hantaran itu dibuat pada 4 April 2021 pukul 8.44 malam yang kemudian dibaca pada 5 April 2021 pukul 11.30 pagi di KKM Putrajaya.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.
Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Asiah Abd. Jalil memohon mahkamah mengenakan jaminan yang rendah dengan alasan tertuduh kini tidak lagi bekerja dan menanggung lima orang anak.
“Sebelum ini, tertuduh bekerja sebagai penyelia kilang di Singapura dengan berpendapatan RM10,000 sebulan. Selain itu, tertuduh juga sebelum ini pernah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, Perak berkaitan Ordinan Darurat dan pasport tertuduh juga telah diserahkan kepada mahkamah,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929