PASIR GUDANG – Penduduk kampung berhampiran Sungai Masai, di sini terus bingung isu pencemaran sungai yang berwarna hitam dan berbau busuk terus berlarutan di kawasan itu sejak lebih 10 tahun yang lalu.
Ahli Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) Zon Rinting II, Mohd. Azizi Mohamad berkata, isu pencemaran cukup sinonim dengan sungai tersebut dan keadaan bertambah teruk ketika hujan lebat.
Katanya, biarpun banyak aduan yang disuarakan, namun hingga kini masih belum ada langkah penyelesaian jangka panjang diambil bagi mengatasi masalah tersebut.
Tambahnya, hasil maklum balas diterima sebelum ini, pembuangan air kumbahan dari loji kumbahan berhampiran dipercayai menjadi punca utama berlakunya pencemaran di sungai itu hingga bertukar kehitaman dan berbau busuk.
“Berdasarkan aduan yang baharu diterima hari ini, warna sungai kembali bertukar warna kehitaman dan terdapat bau. Saya kurang pasti puncanya tetapi keadaan tetap sama seperti pencemaran berlaku sebelum ini.
“Keadaan ini bukan sahaja mendatangkan rasa kurang senang dengan bau meloyakan, malah penduduk turut menangkap hasil laut di sungai berhampiran yang mungkin turut tercemar. Ini secara tidak langsung menjejaskan habitat hidupan laut itu.
“Saya berharap pihak berkuasa tempatan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil tindakan sewajarnya yang proaktif agar isu pencemaran dapat diatasi dan tidak lagi berulang,” katanya kepada pemberita.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Azli Mohd. Aziz berkata, Sungai Masai menjadi lokasi tumpuan golongan nelayan dari perkampungan Orang Asli, Kampung Pasir Gudang Baru dan Kampung Kuala Masai untuk mendapatkan hasil laut.
Katanya, isu pencemaran sungai itu menjejas mata pencarian golongan nelayan setelah keadaan sungai tidak lagi selamat untuk menjadi habitat hidupan laut itu. -K! ONLINE