SIK – Seorang lelaki berasa terkilan dan sedih kerana tidak dapat menyelamatkan ibunya berusia 90 tahun yang terperangkap dalam kejadian kebakaran di rumah mereka di Kampung Charuk Kemuning Dalam di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 4.53 pagi itu, mangsa, Maryam Mihat dilaporkan rentung, manakala menantunya, Zalina Mohamad, 55, melecur di badan.
Anak arwah, Shuid Awang, 63, berkata, ketika kejadian, dia dan isterinya, Zalina tidur di bilik bersebelahan bilik ibunya yang terletak berhampiran dapur.
“Saya terjaga selepas terdengar bunyi letupan di dapur.
“Saya nampak api marak di dapur lalu segera mengejutkan isteri agar menyelamatkan diri,” katanya di sini semalam.
Cerita lelaki itu, dia dan isterinya cuba masuk ke bilik ibunya untuk menyelamatkan warga emas tersebut, tetapi gagal kerana api marak dan asap tebal.
Menurutnya, keadaan arwah ibunya yang uzur dan pahanya yang patah menyukarkan pergerakan sehingga menyebabkannya terperangkap di dalam bilik.
“Isteri saya cuba membantu dan dia juga melecur di badan serta sesak nafas,” ujarnya.
Shuid memberitahu, biarpun sedih dan kecewa kerana tidak dapat menyelamatkan ibunya, namun dia reda dengan kejadian tersebut.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, kebakaran melibatkan rumah dua tingkat yang musnah 80 peratus.
“Mayat mangsa dijumpai pada pukul 6 pagi di dalam sebuah bilik di rumah tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, siasatan awal mendapati punca kebakaran akibat litar pintas, namun siasatan terperinci mengenai kejadian itu masih dijalankan.