KLANG – Cubaan satu sindiket menyeludup besi menerusi 57 kontena bernilai RM9.6 juta berjaya dipatahkan pihak berkuasa di Pelabuhan Barat di sini, baru-baru ini.
Rampasan itu dilakukan oleh sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah, Unit II (Selangor) di antara 29 Jun hingga 2 Julai lalu.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, taktik itu dikesan menerusi Operasi WAJA dengan menjalankan pemeriksaan ke atas semua kontena tersebut.
Katanya, semakan lanjut mendapati kontena itu sudah diikrar sebagai ‘Nickel Steel Plate in Coil’ dan ‘Hot Rolled Stainless Steel Coils’ tanpa perlu mengemukakan permit import.
“Tindakan sindiket itu bagi mengelak duti import dan duti antilambakan sekali gus dikesan oleh JKDM. Besi diklasifikasikan sebagai dagangan terlarang di bawah Butiran 1, Jadual Keempat/ Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.
“Pihak kami kini sedang menyiasat pengimport dan ejen Kastam yang terlibat dalam cubaan menyeludup keluar kontena berkenaan dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 iaitu cubaan mengelak duti kastam dan larangan import di bawah bawah Seksyen 135(1)(a) akta tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929