fbpx

Puntianak, pengganas dalam pesawat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FILEM Blood Red Sky menyatukan dua ketakutan utama manusia iaitu puntianak dan serangan pengganas di dalam pesawat.

BAYANGKAN anda berada di awan biru dan pesawat kemudian dirampas pengganas. Apa yang lebih mengejutkan, ada benda yang lebih menakutkan berbanding orang jahat apabila seorang penumpang merupakan puntianak.

Itu sedikit sinopsis filem Blood Red Sky. Sebuah filem terbitan produksi dari United Kingdom dan Jerman yang kini menjadi pilihan penonton Netflix.

Sinematografi, nilai suspens dan terjemahan lakonan merupakan antara daya penarik yang menjadikan filem berkenaan berbeza berbanding naskhah-naskhah ‘penganas pesawat’ yang pernah diterbitkan sebelum ini.

Penulis cukup tertarik dengan sinematografi termasuk kesan visual yang dijayakan dalam filem ini. Hal ini kerana, membikin satu sebuah karya yang barangkali lebih 60 peratus berlatarkan ruang dalam pesawat, satu cabaran yang sukar untuk direalisasikan terutama ketika pandemik Covid-19.

PUNTIANAK juga ada sifat kemanusiaan. Itu antara yang menarik tentang watak Nadja dalam Blood Red Sky.

Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada Peter Thorwarth selaku pengarah untuk aspek berkenaan. Babak-babak yang dijayakan dengan bantuan kesan visual tidak nampak ‘comot’. Misalnya, babak letupan yang melibatkan pesawat. Meletup sebab apa, itu sedikit ‘hint’ bagi siapa yang belum berpeluang menonton filem berkenaan.

Berkenaan nilai suspens, filem ini sebenarnya bermula agak perlahan pergerakannya, namun hanya pada 10 hingga 20 minit terawal. Selepas itu terutama apabila watak utama Peri Baumeister (Nadja) dan pelakon cilik, Carl Anton Koch (Elias) berada di pesawat, nuansa karya ini berubah secara dramatik.

Nadja, seorang wanita berstatus ibu berwajah polos menyimpan 1,001 rahsia yang tidak diketahui terutama kumpulan pengganas yang berniat untuk merampas pesawat. Di situlah bermula nilai suspens sebenar yang membuatkan penonton tidak akan senang duduk.

Penulis ingin memberikan pujian kepada produksi kerana menulis kisah filem berkenaan dari sudut pandang ibu dan anak, bukannya si pengganas. Hasilnya, selain menjual cerita kisah puntianak, karya berkenaan berjaya menjentik hal sensitif iaitu kekeluargaan.

DARAH, air mata, kehidupan dan Islamophobia antara yang diperjuangkan dalam filem ini.

Cetusan kimia antara Nadja dan Elias antara elemen yang dipasangkan dengan begitu cemerlang. Barangkali buat sesiapa yang takutkan puntianak akan lebih memiliki nilai empati kepada makhluk ‘fiksyen’ itu.

Filem ini juga membawa sesuatu mesej kepada benih ‘Islamophobia’.

Selalu kita dimomokkan kalau ada serangan pengganas sahaja, orang Islam akan dipersalahkan. Justeru, filem ini membawa mesej berkesan, sesiapa sahaja boleh jadi ‘iblis’ tanpa mengenal warna kulit, pegangan agama dan sebagainya.

Menyentuh sedikit tentang sosok fizikal puntianak, entah mengapa penulis terbayang makhluk amfibia dalam filem The Shape of Water.

WATAK utama, Peri Baumeister sebagai Nadja bertukar menjadi puntianak untuk menyelamatkan keadaan.

Sedikit persamaan dari segi wajah yang divisualkan cumanya puntianak dalam Blood Red Sky memiliki taring mengerikan.

Keseluruhan, Blood Red Sky bukan cerita puntianak sembarangan. Mesejnya bukan hanya ‘bertaringkan’ makhluk puntianak tetapi aspek lain termasuk kasih sayang dan kekeluargaan dan ya, isu ‘Islamophobia’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI