PETALING JAYA – Sokongan pelbagai pihak termasuk Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) dalam menjayakan Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) yang diperkenalkan awal tahun ini bukan sahaja berupaya memperkasakan pesawah, malah membuatkan mereka tidak berasa bersendirian mengharungi cabaran industri seiring perkembangan teknologi.
Penglibatan BERNAS secara holistik melalui kerjasama dengan pelbagai agensi seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Pertanian Negeri, MADA, KADA, IADA dan lain-lain dalam menguruskan aktiviti pertanian sawah padi secara berpusat.
Di samping itu, BERNAS juga turut melaksanakan SMART SBB bersama pengilang bumiputera; sebagai contoh program antara BERNAS dan Kilang Beras Dibuk di Perlis.
Program ini dijangka dapat meningkatkan hasil dan mutu padi dengan penggunaan kadar kegunaan tanah yang optimum. Selain itu, pesawah juga didedahkan dengan Amalan Pertanian Baik serta kaedah penanaman baharu yang mengguna pakai teknologi terkini.
Dalam usaha mencapai matlamat kerajaan bagi meningkatkan kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras negara sebanyak 75 peratus, BERNAS sebenarnya telah mempunyai model penanaman padi berskala besar sejak tahun lalu lagi.
Inisiatif kerajaan dalam memperkenalkan Smart SBB awal tahun ini ibarat ‘pucuk dicita ulam mendatang’ kepada BERNAS dalam membantu meningkatkan tahap kecekapan industri dari sudut komersial.
Dalam hal ini, BERNAS menyasarkan kawasan-kawasan yang mempunyai produktiviti rendah dengan mengunjurkan lonjakan hasil antara 40 hingga 60 peratus, dengan mempraktiskan ekonomi berskala dalam penanaman padi untuk meningkatkan hasil per hektar.
Setakat ini, projek Smart SBB BERNAS meliputi empat kawasan iaitu Batang Lupar, Sarawak; Sungai Batu Pahat, Perlis; Setiu, Terengganu dan Kampung Kulambai, Kota Belud di Sabah melibatkan seramai 186 pesawah.
Antara cabaran utama ialah, ada antara tanah terlibat misalnya di Kota Belud, Sabah merupakan sawah yang terbiar lebih 10 tahun. Kawasan berpotensi seumpama ini dikenal pasti dan BERNAS memberi tumpuan kepada pembangunan dan pemulihan tanah yang melibatkan proses penyuburan tanah, pemulihan kandungan nutrien dan aspek pembersihan supaya tidak menjadi perumah kepada serangga perosak apabila sawah dibangunkan kelak.
Paling penting, matlamat SMART SBB dalam penglibatan penuh pesawah dilihat amat menggalakkan. Pesawah yang terlibat di dalam program ini turut diperkenalkan dengan amalan pertanian pintar melalui penggunaan teknologi baharu Internet of Things (IoT).
Penggunaan teknologi dron serta pengunaan mekanisasi yang lebih moden semestinya dapat meningkatkan produktiviti dan kecekapan pertanian yang lebih baik.
Mengikut amalan pertanian kebiasaan sebelum ini, kebanyakan pesawah mengerjakan tanah sawah mereka pada keluasan yang kecil dengan purata sebanyak dua hektar secara persendirian.
Namun, menerusi pengurusan sawah berpusat seperti SMART SBB ini, kos penanaman dan penggunaan sumber dapat dioptimumkan dan sekali gus memberi pulangan hasil pendapatan yang lebih tinggi kepada pesawah.
Apa yang penting, peranan BERNAS dalam memberi keyakinan dan sentiasa bersama membantu meningkatkan motivasi pesawah melalui perkongsian ilmu dan pengetahuan yang boleh memacu kejayaan mereka, proses yang terlibat dan mengaplikasikan amalan pertanian baharu sebagai gaya hidup mereka.
BERNAS juga turut merancang untuk memperluaskan lagi program SMART SBB ini kepada varieti padi yang lain seperti beras wangi pada masa akan datang.