fbpx

Peguam terbabit rasuah didenda RM130,000, penjara sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Cheah Yit (kanan) mengaku bersalah bagi tiga pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen di Butterworth hari ini.

SEBERANG PERAI – Seorang peguam kanan persekutuan didenda RM130,000 dan dipenjara sehari selepas didapati bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM700,000 tahun lalu.

Tertuduh, Lim Cheah Yit, 43, sebelum itu mengaku bersalah bagi kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, dia sebagai pegawai badan awam iaitu Peguam Kanan Persekutuan yang bertugas di Pejabat Jabatan Peguam Negara, Pulau Pinang telah bersetuju menerima untuk dirinya wang tunai berjumlah RM700,000.

Dia didakwa menerimanya daripada seorang lelaki yang diketahui mempunyai urusan rasmi yang akan dijalankan dengan Pegawai Pendakwaan Negeri Pulau Pinang iaitu bagi menuduh seorang lelaki lain di mahkamah atas kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa bersetuju menerima RM500,000 di dalam bilik Pusat Karaoke Keluarga I Am Singer, di Gurney Paragon Mall dekat sini kira-kira pukul 7 malam pada 8 Mac 2020.

Manakala bagi pertuduhan kedua, Cheah Yit didakwa bersetuju menerima RM100,000 di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Alor Setar, Kedah kira-kira pukul 12.43 tengah hari pada 18 Mei 2020 dan pertuduhan ketiga, bersetuju menerima RM100,000 di AC Hotel Penang, Bukit Jambul dekat sini kira-kira pukul 12.19 tengah hari pada 1 Jun 2020.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mukhzany Fariz Mohd. Mokhtar, manakala tertuduh diwakili peguam S. Devanandan.

Cheah Yit kemudiannya dihantar ke Penjara Seberang Perai di Jawi, Nibong Tebal di sini bagi menjalani hukuman penjara sehari yang berjalan serentak selepas selesai membayar denda. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI