GOMBAK – Mayat seorang wanita tempatan ditemui dalam keadaan meniarap dengan kesan terbakar pada seluruh tubuh badan di sebuah padang bola di Bukit Idaman, Selayang di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, pihaknya dimaklumkan tentang penemuan itu oleh orang awam kira-kira pukul 7.30 pagi sebelum bergegas ke lokasi.
“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak telah ke tempat kejadian bersama Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia.
“Siasatan awal mendapati, mangsa merupakan seorang wanita tempatan berusia 32 tahun yang berasal dari Selayang dan semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati, dia datang ke tempat kejadian dengan menaiki sebuah kereta kira-kira pukul 1 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Zainal, sejurus tiba di lokasi kejadian, wanita berkenaan telah keluar dari kenderaan dan berjalan menuju ke arah padang bola bersama satu objek yang menyerupai sebuah tong plastik.
“Turut ditemui di tempat kejadian adalah barangan peribadi serta barang kemas milik wanita tersebut.
“Hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian tersebut, namun siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut,” ujar beliau. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929