MUAR – Kerajaan akan mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) serta kemudahan lain kepada individu yang telah melengkapkan dua dos vaksinasi Covid-19 mereka.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu akan diumumkan dalam tempoh sehari dua setelah perbincangan menerusi mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dimuktamadkan tidak lama lagi.
Jelas beliau, ia termasuklah keputusan membenarkan aktiviti rentas negeri atau daerah serta sektor sosial dan riadah.
“Esok atau lusa saya buat pengumuman, ini yang ditunggu-tunggu oleh orang ramai yang sudah mendapat dua dos. Saya pun sudah dapat dua dos, tetapi masih tersekat kerana kita belum lagi umum apa-apa kelonggaran seperti contoh rentas negeri atau daerah untuk bertemu ibu bapa atau suami isteri yang terpisah.
“Itu kita akan putuskan sehari atau dua hari daripada sekarang, disamping itu sektor-sektor sosial yang orang tunggu juga iaitu ‘dine in’ untuk duduk bersama keluarga, suami isteri.
“Apabila diumum nanti, restoran boleh dibuka dan kedai-kedai lain juga boleh dijadikan tempat untuk kita beli dan berbelanja,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak di Felda Batu 27, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh mengingatkan, meskipun kelonggaran bakal diberikan, masyarakat perlu menyedari bahawa negara masih belum mencapai nilai ambang yang ditetapkan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN). – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929