CONSHOHOCKEN, Pennsylvania – Jenama perabot terkenal IKEA melancarkan lilin beraroma bebola daging sempena ulang tahun ke-10 jenama itu, lapor akhbar New York Post kelmarin.
“Bagi kebanyakan orang, perkara pertama yang mereka akan fikirkan tentang IKEA adalah menu bebola daging dari Sweden yang enak dan dijual pada harga yang berpatutan.
“Tiada jenama perabot lain yang menawarkan makanan dan mempunyai pengikut yang ramai, jadi bagi sambutan IKEA Family ke-10, kami melancarkan lilin dengan aroma bebola dagingnya,” kata Sho Matsuzaki, pengarah kreatif firma Ogilvy yang mengetuai projek tersebut bersama IKEA.
Lilin dengan aroma unik itu merupakan edisi terhad kotak promosi ‘IKEA Store in Box’ yang memberikan pelanggan peluang untuk membawa pulang aroma ikonik IKEA.
Kotak misteri tersebut mengandungi lilin aroma bebola daging dan beberapa barangan lain yang merupakan sebahagian daripada hadiah bagi sambutan ulang tahun ke-10 bagi program keluarga IKEA Amerika Syarikat.
Pada 2018, seorang pengguna Twitter menerusi satu ciapan mencadangkan kepada IKEA untuk menghasilkan lilin dengan aroma bebola daging.
“IKEA perlu mengeluarkan lilin dengan aroma bebola daging,” demikian ciapan yang ditulis pengguna Twitter itu. -Agensi