fbpx

HLB Can You Hack It diperluas ke rantau Asia Tenggara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hong Leong Bank (HLB) menjemput bakat baharu untuk menyertai pertan­dingan Can You Hack It Virtual Hackathon ASEAN Edition 2021 dan bersama-sama mencipta penyelesaian inovatif yang berfokuskan kepada tadbir urus, sosial dan alam sekitar (ESG).

Ketua Pegawai Inovasi Digital HLB, Shailesh Grover berkata, acara hackathon maya itu bertujuan mendapatkan idea kreatif tentang bagaimana masyarakat di rantau ini mentafsirkan ESG.

Selain itu, acara tersebut juga adalah untuk melihat bagaimana teknologi dapat dimanfaatkan untuk menambah baik produk, perkhidmatan serta pengalaman bank digital.

Menurut beliau, program Can You Hack It itu direka bagi membolehkan peserta mengemukakan idea untuk menyelesaikan masalah yang dinyatakan bank, merekod dan mengesahkannya, sebelum me­nunjukkan bagaimana ia mampu berfungsi sebagai prototaip kepada panel eksekutif HLB dan juga kepada pemain industri teknologi kewangan.

“Memfokuskan kepada ESG, isu yang ditumpukan pada acara kali ini adalah berkaitan dengan perbankan dan pelaburan komuniti, pembiayaan iklim positif, perusahaan sosial dan literasi kewangan,” katanya dalam ken­yataan.

Shailesh menjelaskan, peserta akan berpeluang be­kerjasama dan menerima bimbingan daripada rakan serantau HLB di Vietnam, Kemboja dan Singapura, Google Cloud, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia serta JomHack Malaysia.

Tambah beliau, sebagai bank komuniti yang menjadikan kelestarian sebagai nilai teras, HLB akan meneruskan usaha untuk mewujudkan produk dan perkhidmatan perbankan serta kewangan berkesan yang mampu mewujudkan nilai mampan untuk pelanggan dan komuniti dalam jangka masa panjang.

Permohonan acara tersebut dibuka sehingga 31 Ogos ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI