fbpx

Beruk pakai gelang merah jambu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar yang memaparkan seekor beruk memakai gelang kuarantin Covid-19 disahkan palsu hari ini.

PETALING JAYA – Sekeping foto memaparkan seekor beruk memakai gelang merah jambu atau tag kuarantin Covid-19 tular di beberapa laman sosial baru-baru ini.

Pengendali laman Facebook Info Rakyat Di Kelantan (IRDK) berkongsi mesej pesanan suara seorang lelaki mendakwa haiwan tersebut tidak bermaya sejak beberapa hari lalu selain mengalami demam selesema sebelum dihantar untuk ujian calitan dan disahkan positif Covid-19.

“Beruk disahkan positif Covid-19 di Gua Musang,” tulis pengendali akaun Facebook menerusi ruangan kapsyen hantaran tersebut semalam.

Hantaran itu menerima respons yang pelbagai dengan kebanyakan pengguna media sosial menyifatkannya sebagai melucukan selain ada yang bersimpati dengan nasib haiwan primat berkenaan.

“Kasihannya. Jangan bagi panjat pokok kelapa dulu. Bagi beruk ini cuti. Moga cepat sembuh,” ujar Azie.

“Siapalah yang berani jolok hidung beruk ini. Mahu kena tampar sekali dengan PPE (peralatan perlindungan diri),” komen Arief Roslan.

“Dasar nate (binatang) beruk. Gara-gara dia patut kes boleh naik banyak,” ujar Wan Mohamed.

Begitupun, beberapa media tempatan hari ini melaporkan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr. Zaini Hussin menafikan dakwaan beruk tersebut positif Covid-19.

Beliau menyifatkan hantaran tersebut sebagai tidak munasabah kerana pihaknya belum pernah melakukan ujian calitan kepada beruk setakat ini.

“Berita ini palsu. Jangan buat gurau bos. Kasihan barisan hadapan yang bekerja siang malam. Minta maaf. Terima kasih,” komen pemilik akaun bernama Pak Sedaro. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI