SEPANG – Vaksinasi secara ‘walk in’ bagi golongan 18 tahun ke atas yang bermula hari ini di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen & Hotel Movenpick KLIA di sini terus menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai dengan menyaksikan kira-kira 600 individu hadir setakat pukul 3 petang tadi.
Ketua Penyelarasnya, Dr. Noraziah Abdul Karim berkata, inisiatif itu mendapat sambutan memberangsangkan apabila orang ramai sudah mula beratur sejak pukul 1 tengah hari meskipun hanya dibuka pada 2 petang.
Seorang penerima Sindrom Down, Mohamad Fitri Mohd. Som, 23, jelas teruja apabila menerima vaksinasi hari ini selepas dia terlepas tarikh janji temu berikutan ahli keluarga yang lain perlu dikuarantin kerana positif Covid-19 pada 15 Julai lalu.
Kakaknya, Siti Aisyah Mohd. Som berkata, adik bongsunya itu sepatutnya menerima suntikan vaksin pada 16 Julai lalu di Dewan Salak Tinggi di sini namun tetapi terpaksa melepaskan tarikh janji temu tersebut.
“Kami enam sekeluarga positif Covid-19 tetapi Fitri tidak dijangkiti virus dan dia diasingkan di sebuah bilik khas bersama seorang lagi abangnya yang juga orang kelainan upaya.
“Saya bawa Fitri ke sini secara ‘walk-in’ kerana konsep ini lebih dan senang berbanding menunggu notifikasi MySejahtera. Lagipun disebabkan kami pernah positif, ia salah satu langkah berjaga-jaga,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di PPV tersebut hari ini. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929