DHAKA, BANGLADESH – Sekurang-kurangnya 17 ahli rombongan pengantin maut manakala 14 lagi termasuk pengantin lelaki cedera akibat dipanah petir dalam satu kejadian di Bangladesh, lapor Badan Penyiaran British (BBC) hari ini.
Seorang pegawai kerajaan tempatan, Sakib Al-Rabby berkata, ketika kejadian, kumpulan tersebut baru keluar dari bot mereka untuk mencari perlindungan selepas terperangkap dalam ribut petir ketika menuju ke rumah pengantin perempuan.
Pengantin perempuan bagaimanpun tidak berada bersama-sama kumpulan tersebut.
Pada setiap tahun, beratus-ratus orang di rantau Asia Selatan mati akibat dipanah petir.
Pada tahun 2016, Bangladesh mengumumkan panahan petir sebagai bencana alam apabila lebih daripada 200 orang terkorban pada bulan Mei sahaja termasuk 82 orang dalam masa satu hari. – AGENSI