PERSEORANGAN badminton lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia nampaknya sudah boleh melepaskan rindu untuk menikmati nasi lemak selepas selamat tiba di tanah air dari Tokyo, Jepun kelmarin.
Zii Jia pulang daripada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 bersama kontinjen Malaysia seramai 23 orang termasuk pemenang pingat gangsa dalam acara beregu lelaki, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.
Menerusi perkongsian yang dilakukan di laman media sosial Instagram, pemain berusia 23 tahun itu seolah-olah memberi gambaran bahawa dia sudah tidak sabar untuk menikmati juadah popular rakyat Malaysia itu.
“Akhirnya tiba di Malaysia. Sudah terbau nasi lemak yang saya idamkan. Terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa berikan sokongan kepada saya selama ini,” katanya.
Pada aksi di Tokyo sebelum ini, juara kejohanan Seluruh England (All England) itu berjaya melayakkan diri ke pusingan kalah mati sebelum tewas kepada juara bertahan dari China, Chen Long.
Meskipun tidak dapat merealisasikan impian untuk membawa pulang pingat, namun Zii Jia mengakui dia sudah memperoleh pengalaman berharga pada penampilan pertama di Sukan Olimpik.
Pada masa sama, dia juga berterima kasih kepada semua pihak terlibat termasuk Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria atas sokongan yang diberikan.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung. Saya juga bertuah kerana dibantu oleh Datuk Lee Chong Wei selaku Ketua Kontinjen (CDM) pada kali ini,” ujarnya.
Berdasarkan aksi yang ditampilkan pada Sukan Olimpik kali ini, Zii Jia memiliki peluang cerah untuk mencatat keputusan lebih baik pada Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.