SLOGAN ‘kepimpinan melalui teladan’ kita dengari sejak di bangku sekolah.
Penulis sendiri pernah diminta oleh guru untuk menyiapkan karangan bertajuk ‘kepimpinan melalui teladan’.
‘Kepimpinan melalui teladan’ bermaksud pemimpin menunjukkan perbuatan dan tingkah laku yang baik.
Perbuatan dan tingkah laku baik itu akhirnya akan menjadi ikutan anggota masyarakat.
Dalam konteks Malaysia sebagai negara demokrasi berparlimen, kepimpinan sering dikaitkan dengan wakil rakyat.
Malangnya, sejak kebelakangan ini, ada segelintir wakil rakyat menunjukkan kepimpinan yang sukar untuk diteladani.
Tidak cukup dengan itu, beberapa Yang Berhormat turut dikesan melanggar prosedur operasi standard (SOP), sedangkan rakyat pula terus ditekan agar mematuhi peraturan itu.
Rakyat juga diminta bekerjasama memerangi pandemik Covid-19, tetapi wakil rakyat gigih bertelagah dalam Dewan Rakyat.
Maka apakah ‘kepimpinan melalui teladan’ yang dapat dicontohi apabila Parlimen bersidang sejak 26 Julai lalu?
Sehinggakan ramai rakyat Malaysia meluahkan rasa kecewa terhadap hiruk-pikuk yang berlaku di situ.
Dewan yang mulia sepatutnya menjadi tempat untuk membincangkan isu rakyat menjadi medan ‘perang politik’.
Pemilik akaun media sosial Umpi Berasap menulis, keadaan itu lama kelamaan membuatkan rakyat hilang rasa hormat terhadap ahli politik.
“Mereka (wakil rakyat) sendiri pun sudah tidak (saling) hormat menghormati,” katanya.
Yusni Mohamud Nawai pula mempersoalkan apakah tiada adab dan kesopanan lagi dalam Dewan Rakyat.
“Bahasa jiwa bangsa. Mana adab dan kesopanan walaupun marah? Ini sebabkah Parlimen dibuka?” tulisnya.
Perkara itu turut mendapat ulasan Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr P. Sivamurugan.
Beliau berkata, generasi baharu tidak suka kepada apa yang mereka saksikan pada persidangan Parlimen baru-baru ini.
Katanya, rakyat terutama golongan muda juga mahu wakil rakyat yang dipilih berbincang secara rasional dan berhemah.
“Rakyat mahu keputusan dicapai di Dewan Rakyat oleh penggubal dasar mengenai kepentingan mereka.
“Wakil rakyat beremosi dalam sidang Parlimen seolah-olah sudah menjadi satu imej pula.
“Rakyat zaman ini mahukan perubahan. Wakil rakyat diharap berinteraksi secara praktikal dan rasional.
“Menonjolkan kewibawaan sebagai pemimpin bukan dengan saling melemparkan provokasi dan ejekan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Justeru katanya, kesemua wakil rakyat perlu meneliti apakah persepsi rakyat kepada mereka disebabkan perkara itu.
Kata beliau, jika hal itu gagal didalami, boleh memberi impak tidak baik kepada institusi politik tanah air secara keseluruhan.
Bagaimanapun, tidak dinafikan ada juga wakil rakyat yang bersuara di Dewan Rakyat semata-mata meminta Ahli Parlimen agar berhenti bertelagah.
Mencadangkan sebarang pertikaian ditangguhkan dan hanya fokus kepada usaha mencari jalan membantu rakyat.
Cadangan itu bagaimanapun disambut hambar dan kemudian disambung dengan pertikaian yang seterusnya.
Berdasarkan keadaan itu, mungkin wakil rakyat juga perlu diminta buat karangan bertajuk ‘kepimpinan melalui teladan’. -K! ONLINE