IPOH – Sembilan deretan rumah kedai musnah dalam dua kebakaran berasingan di Medan Selera Kampung Sentang, Batu Gajah dan Kampung Kuala Slim, Slim River di sini pagi tadi.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang berlaku pada pukul 7.30 pagi di Kampung Sentang dan 11 pagi di Kampung Kuala Slim.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kebakaran pada pukul 7.36 pagi.
“Kebakaran melibatkan lima premis di medan selera bawah seliaan Majlis Daerah Batu Gajah telah musnah terbakar 50 peratus.
“Operasi pemadaman turut dibantu sepasukan anggota dari BBP Pasir Puteh dengan aliran air sehingga api padam sepenuhnya,” katanya kepada pemberita.
Tambahnya, operasi di Batu Gajah tersebut tamat sepenuhnya pukul 10.28 pagi.
Sementara itu, kejadian kedua melibatkan kebakaran empat deretan rumah kedai dua tingkat iaitu kedai runcit dan kedai kek serta dua lagi premis tidak berpenghuni.
“Kedai kek dan kedai runcit terbabit musnah 80 peratus manakala, dua kedai lain musnah 95 peratus selain turut musnah sebuah kereta jenis Proton Iswara yang terbakar 80 peratus. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929