PETALING JAYA – Pelakon Fauziah Gous meminta semua rakyat di negara ini untuk kekal menjaga diri dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Menerusi hantaran dalam Instagram, Fouziah berkata, varian Delta sudah menular di seluruh negara termasuk Malaysia selain berisiko tinggi mengjangkiti sesiapa sahaja tanpa menunjukkan apa-apa simptom.
“Tolong fahami apa yang berlaku. Ini satu dunia berisiko, bukan Malaysia sahaja.
“Tolong jaga diri. Siksa bukan kita saja sakit tapi kalau keluarga kita sakit, lagi siksa. Saya tahu macam mana rasa kalau keluarga kita yang kena,” tulisnya.
Pada hantaran sama, pelakon drama Sara Sajeeda itu turut mengajak orang ramai berdoa agar virus maut Covid-19 segera pergi dan kehidupan kembali normal.
“Doakan kita semua selamat daripada virus korona dan tolong duduk di rumah walaupun susah.
“Lagi susah bila sakit tak ada tempat untuk kita di hospital. Kita sama-sama berdoa dan berserah kepada Allah,” pinta Fouziah.
Semalam negara mencatatkan 180 kes baharu varian Delta yang dikesan berlaku di negeri Sarawak dan merebak dengan begitu pantas hampir ke setiap negeri. – K! ONLINE