LONDON – Pemain tengah Everton, James Rodriguez sudah diberitahu bahawa dia tiada dalam perancangan pengurus baharu, Rafael Benitez musim hadapan dan dibenarkan untuk mencari kelab baharu.
AC Milan dikatakan merupakan pilihan terbaik pemain Colombia itu jika kelab Itali tersebut mampu membayar gajinya yang bernilai UK£220,000 (RM1.3 juta) seminggu.
Selain itu, kelab Portugal, FC Porto yang juga bekas kelabnya dilaporkan menunjukkan minat terhadap Rodriguez.
Penjaring terbanyak Piala Dunia 2014 itu menyatakan hasrat untuk bermain di kelab yang mahukan khidmatnya.
“Saya tidak tahu apa akan jadi pada masa hadapan, saya tidak tahu di mana saya akan bermain nanti.
“Dalam bola sepak dan juga kehidupan, anda tidak tahu masa hadapan anda, namun saya bekerja keras, sediakan diri dan berlatih bersendirian, itu sahaja.
“Sangat sukar untuk dijelaskan di kelab manakah saya akan bermain kelak. Seseorang pemain seharusnya bermain di kelab yang mahukan khidmatnya,” kata Rodriguez kepada peminatnya di laman Twitter.
Sementara itu, ejennya, Jorge Mendes menawarkan Rodriguez kepada Atletico Madrid dan Napoli di dalam usaha untuk mencari kelab terbaik buat dirinya. – AGENSI