DUA jurulatih terjun negara menaruh keyakinan terhadap dua bintang penerjun kebangsaan, Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong mampu meraih keputusan positif dalam memburu kilauan pingat dalam acara 10 meter (m) platform individu wanita pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo hari ini.
Bagaimanapun, kedua-dua penerjun negara dilihat bakal berdepan kesukaran kerana akan bersaing hebat dengan dua atlet muda China iaitu Quan Hongchan, 14, dan Chen Yuxi, 15, dalam acara tersebut.
China mempertaruhkan dua penerjun muda tersebut yang masing-masing turun buat kali pertama di pentas Olimpik.
Meskipun mendapat saingan daripada pasangan China nanti, namun Pandelela dan Jun Hoong dilihat sudah bersedia untuk menyerap segala tekanan memandangkan mereka ada kelebihan dari segi pengalaman bersaing di pentas Olimpik.
Bagi jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang, beliau menaruh kepercayaan dengan keupayaan dimiliki anak didiknya Jun Hoong untuk memberi cabaran sengit dalam acara tersebut.
“Kali ini, penerjun negara ada peluang besar kerana akibat pandemik Covid-19, kebanyakan sistem latihan setiap negara sudah berubah, markah yang diraih dalam Sukan Olimpik kali ini pun agak rendah.
“Saya kenal mereka (penerjun China), jurulatih mereka pun sebelum ini merupakan rakan sepasukan saya dan hubungan kami masih akrab. Kami masih saling berhubung biarpun tiada pertandingan,” katanya dalam temu bual bersama Astro Arena.
Jurulatih terjun negara, Christian Brooker berkata, beliau yakin Pandelela pasti akan bangkit dalam meneruskan perjuangan kontinjen negara.
“Tidak banyak yang boleh saya katakan, dia seorang legenda dalam sukan ini. Dia tahu apa yang perlu dilakukan dan dia sedang berusaha sedaya upaya,” ujar Brooker.