PETALING JAYA – Pelawak Wann Wala terkilan apabila namanya dituduh sebagai pelawak yang terlibat dengan kes jenayah pemerdagangan manusia yang tular dalam media sosial sejak semalam.
Biarpun pada awalnya, identiti pelawak tersebut tidak didedahkan kepada umum, namun ramai netizen membuat tekaan dengan mengaitkan nama Tauke Jambu dan Shahrol Shiro.
Bagaimanapun, kedua-dua pelawak itu membuat penafian bagi menangkis dakwaan individu yang ditahan di sebuah hotel di Kuala Pilah, Negeri Sembilan pada Ahad lalu adalah mereka.
Disebabkan itu, nama Wann, 38, pula tiba-tiba menjadi sasaran netizen yang menuduhnya sebagai pelawak terbabit menerusi satu laporan berita.
“Kumpulan Wallah (Wala) lah. Orang Sabah yang badan sado tu. Buat malu je, tak pasal-pasal Tauke kena,” komen seorang netizen.
Membidas tuduhan tidak berasas berkenaan, Wan berkata, dia kini sedang sibuk bekerja di negeri kelahirannya Sabah.
“Alhamdulillah kepada yang bercakap benda ni. Media kalau tak boleh nak beritahu cerita sebenar, janganlah buat isu yang boleh timbulkan fitnah okey.
“Saya sibuk cari rezeki di Sabah dan bantu saudara yang memerlukan. Ayam memang saya tak jual, tapi saya makan. Jangan sampai merangkak nanti di Padang Mahsyar. Lebih baik jernihkan keadaan,” tulisnya dalam hantaran InstaStory.
Semalam, kecoh dalam media sosial apabila seorang pelawak berusia 40-an ditahan polis pagi Ahad lalu kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan pemerdagangan manusia untuk tujuan eksploitasi seks.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitendan Amran Mohd. Ghani memaklumkan, pelawak itu ditahan ketika Ops Pintas dilaksanakan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Daerah sekitar pukul 10 pagi.
Dalam serbuan tersebut, polis merampas sebuah kereta Perodua Axia, beberapa bungkus kondom, sejumlah wang tunai dan empat telefon pintar. – K! ONLINE