GEORGE TOWN – Seorang bekas Pembantu Pembangunan Masyarakat di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Timur Laut didakwa hari ini atas 25 pertuduhan penyelewengan wang jabatan itu berjumlah RM107,370 antara 2014 hingga 2017.
Tertuduh, Mohamed Hussain Mohamed Mydin, 41, mengaku bersalah terhadap 16 pertuduhan yang dibacakan di hadapan dua Majistret di Mahkamah Majistret di sini.
Mohamed Hussain mengaku bersalah terhadap 12 pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret R. Manomani.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa gagal memberikan penjelasan munasabah berhubung wang berjumlah RM52,049 dalam akaun simpanan peribadinya dalam tempoh 2014 hingga 2017.
Berdasarkan fakta mahkamah, pertuduhan ke atas tertuduh adalah ekoran laporan polis dibuat pegawai JKM Timur Laut yang mendapati berlakunya penyelewengan wang jabatan berkenaan berjumlah RM107,370 yang dibuktikan menerusi laporan audit antara 2013 dan 2017.
Manomani kemudian menjatuhi hukuman denda maksimum RM1,000 untuk setiap pertuduhan dan penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.
Sementara itu, di hadapan Majistret Rosnee Mohd Ridzuan, tertuduh mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan gagal memberikan penjelasan munasabah terhadap wang berjumlah RM11,260 di dalam akaun simpanan peribadinya dalam tempoh 2014 hingga 2016.
Mahkamah kemudiannya menjatuhi hukuman penjara sehari dan denda maksimum RM1,000 terhadap setiap pertuduhan serta lima bulan penjara jika gagal membayar denda.
Dia didakwa mengikut Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 bagi kesemua pertuduhan itu.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatin Nur Athirah dan Mohamed Nazri Abdul Rahim, manakala tertuduh diwakili R. Puran dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Sementara itu, bagi sembilan lagi pertuduhan, Mohamed Hussain turut mengaku bersalah di hadapan pembantu pendaftar mahkamah Muna Maria Azmi, namun keputusan ditangguhkan.
Mahkamah menetapkan 25 Ogos ini untuk hukuman dijatuhkan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929