LOS ANGELES – Penyanyi Kelly Clarkson mengakui tertekan sehingga menggangu emosinya selepas proses perceraiannya dengan bekas suami, Brandon Blackstock mengambil masa terlalu lama.
Menerusi kenyataannya yang dipetik dalam Hollywoodlife, salah seorang sumber terdekat kepada penyanyi itu memberitahu bahawa Clarkson berasa sangat sedih dan marah kerana perlu melalui proses tersebut (menguruskan perceraiannya) hampir setiap hari.
Lebih membuatkan penyanyi itu tertekan apabila dia perlu mengeluarkan hampir AS$ 200,000 (RM 845,400) setiap bulan untuk diberikan kepada bekas suaminya seperti yang ditetapkan oleh pihak mahkamah.
“Dia (Clarkson) kini sedang menangani segala emosi berikutan perceraiannya. Dia berasa sedih, marah dan terkejut sehingga hidupnya tertekan.
“Dia juga tidak menyangka ini adalah perkara yang perlu dia hadapi untuk satu tempoh yang lama dan perlu menghadapinya setiap hari,” kata sumber tersebut.
Sekadar info, Kelly mendirikan rumah tangga dengan Blackstock pada 2013 dan mereka mempunyai dua cahaya mata iaitu River, 7, serta Remington, 5.
Penyanyi lagu Because Of You itu mengambil keputusan untuk berpisah selepas memfailkan perceraian terhadap Brandon pada 4 Jun tahun lalu. – K! ONLINE