BALIK PULAU – Polis menemui mayat seorang bayi perempuan yang cukup sifat di dalam longkang berhampiran sebuah kebun durian di Mukim 6, Pondek Upeh di sini hari ini.
Mayat yang masih bertali pusat itu dijumpai kira-kira 2.30 petang selepas seorang doktor membuat laporan mendakwa menerima pesakit warga asing dipercayai menyembunyikan kelahiran.
Difahamkan, sebelum itu pegawai perubatan menemui uri di dalam rahim wanita berusia 35 tahun tersebut semasa melakukan pemeriksaan, namun dia yang bekerja sebagai penjaga warga emas enggan memberi kerjasama berhubung kelahiran.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek sebelum itu dimasukkan ke hospital di sini selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri serta berlumuran darah oleh majikannya petang semalam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku membuang bayi di dalam longkang berdekatan rumah tempat dia bekerja selepas melahirkan bayi itu dalam keadaan tidak bernyawa di dalam bilik tidurnya.
“Suspek mendakwa dia berniat menanam mayat bayi tersebut, namun ketika sampai berdekatan longkang dia berasa mahu pitam sebelum mayat terlepas dari pegangannya dan jatuh ke dalam longkang.
“Suspek mendakwa sempat kembali semula ke rumah majikannya sebelum dia pengsan di bahagian dapur dan telah dibantu majikannya berusia 54 tahun itu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Kamarul Rizal lagi, siasatan lanjut mendapati suspek mengaku mengandung hasil hubungan dengan seorang pekerja kebun berdekatan tempat dia bekerja.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929