KLANG – Taktik satu sindiket mengisytiharkan 46,560 liter minuman keras sebagai ‘rolls of tarpaulins’ gagal selepas dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Pelabuhan Utara, baru-baru ini.
Rampasan minuman keras bernilai RM896,280 termasuk cukai itu dilakukan pukul 11 pagi pada 13 Julai lalu oleh sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor).
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, kejayaan itu hasil pengesanan dan pemeriksaan terhadap tiga buah kontena di pelabuhan itu.
“Semakan Manifes Import mendapati kontena tersebut telah diikrar sebagai ‘rolls of tarpaulins’ dengan semakan kontena dilakukan bersama wakil syarikat perkapalan terlibat
“Hasil pemeriksaan menemukan 46,560 liter pelbagai jenis minuman keras yang dipercayai belum lulus kastam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menambah nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM232,800 dengan duti cukai berjumlah RM663,480.
Abdul Latif menjelaskan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929