JERANTUT – Senario gajah liar berkeliaran di pinggir perkampungan sekitar pedalaman Hulu Tembeling kini menjadi fenomena biasa bagi penduduk di kawasan pedalaman itu.
Keadaan tersebut dipercayai berlaku kerana haiwan liar berkenaan sudah ketiadaan kawasan rayau dan kekurangan makanan akibat penerokaan hutan termasuklah untuk pertanian dan perladangan.
Penduduk Hulu Tembeling, Suhaidi Erwan,40, yang merakam kumpulan gajah itu berhampiran jalan ke Kampung Kuala Sat di sini berkata, gajah liar berkenaan sering kelihatan di kawasan tersebut secara berkumpulan.
“Saya dalam perjalanan ke Kuala Tahan, tiba-tiba terserempak dengan kawanan haiwan liar ini yang terdiri daripada tujuh ekor termasuk dua anak.
“Kawanan gajah ini keluar dari hutan berdekatan kemungkinan mencari makanan kebiasaannya pada sebelah malam hingga awal pagi di kawasan pinggir kampung dan ladang sawit berdekatan,”katanya di Kampung Kuala Sat di sini, hari ini,
Menurutnya, ketika terserempak dengan manusia dan terdengar bunyi kenderaan, kumpulan gajah ini akan cepat beredar masuk ke dalam hutan semula untuk bersembunyi dan keluar pada sebelah malam.
Suhaidi memberitahu, ramai penduduk pernah terserempak dengan kumpulan gajah liar melintas jalan untuk memasuki kawasan tanaman penduduk kampung.
“Biasaya selepas memperoleh makanan, kumpulan gajah ini akan masuk semula ke hutan simpan dan merayau ke tempat lain pula bagi mencari sumber makanan.
“Kawanan gajah liar ini tidak pernah menggangu penduduk malahan fenomena ini menjadi pemandangan biasa bagi sesetengah pengguna jalan raya antara Kampung Tuit Kuala Tahan ke Kampung Kuala Sat,”ujarnya.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929