JEMPOL – Taktik licik seorang buruh menyembunyikan air ketum di dalam stor di belakang rumahnya berjaya dihidu sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol dalam satu tangkapan di Felda Lui Selatan 2 di sini petang tadi.
Ketua Polis daerah Jempol , Superintendan Hoo Chang Hook berkata, polis telah menangkap lelaki berusia 31 tahun yang dipercayai baharu sahaja tiga bulan berjinak-jinak semula dalam aktiviti memproses air ketum yang daunnya diambil dari pokok ketum di belakang rumah.
“Suspek telah memproses air ketum di rumah dan mencampurkan air berkenaan dengan ubat batuk jenis uphydyl forte expectorant yang dibelinya dari sebuah farmasi di Kuala Pilah.
“Dalam tangkapan ini, polis telah menemui 12 peket plastik lutsinar yang berisi cecair disyaki air ketum dengan jumlah anggaran isipadu sebanyak 72 liter dan 44 botol setiap satu bertulis uphydyl forte expectorant 90ml berisi cecair dadah berbahaya dengan jumlah anggaran isipadu sebanyak 3,960 ml,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Chang Hook berkata, polis telah merampas air ketum yang diproses berkenaan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM720 dan pelbagai barangan yang digunakan bagi memproses air ketum tersebut antaranya tong gas, dapur masak, alat tapis kain, senduk besi dan satu jug plastik.
Menurutnya, suspek mempunyai rekod jenayah lampau bagi kesalahan sama iaitu di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, selain ujian air kencingnya mendapati ia negatif dadah. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929