PETALING JAYA – Cubit paha kiri, paha kanan pun terasa sakitnya. Begitulah ibaratnya perasaan bekas pengacara Borak Kopitam Dayah Bakar yang berasa perit apabila tidak dapat berbuat apa-apa, selain mendoakan kesejahteraan ibu bapanya yang kini terpaksa dirawat di hospital akibat jangkitan Covid-19.
Kata wanita yang sedang menetap di Canberra, Australia itu, bapanya Abu Bakar Johari kini sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan di Selangor.
“Pohon semua untuk mendoakan kesembuhan abah (panggilan untuk ayah) saya yang kini berada di ICU. Juga, doakan mak saya, Halimatul Kamaliah Abdul Rahim, untuk sembuh sepenuhnya.
“Doa anda semua sangat bermakna buat saya dan keluarga. Semoga Allah merahmati kebaikan anda. Terima kasih,” luahnya menerusi Instagram.
Terdahulu, lima hari lalu Dayah berkongsi hantaran berkenaan keadaan kedua orang tuanya yang positif Covid-19.
Begitupun, menurut ibu kepada seorang cahaya mata itu, kesihatan mereka ketika itu masih berada pada tahap yang stabil.
Namun, sebagai anak dia cuba memberikan sokongan moral supaya mereka kuat berdepan dugaan sehingga terpaksa menyimpan rasa sedih.
Akui Dayah, dirinya tidak keruan beberapa hari lalu berikutan penyakit yang menyerang dua insan kesayangannya itu.
Dayah yang berhijrah mengikut suaminya bertugas di Australia berada di bumi kangaroo itu sejak awal tahun ini. – K! ONLINE