fbpx

Anak Dungun mulakan misi buru emas Olimpik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZIZULHASNI - Gambar hiasan

KUALA NERUS – Sewaktu semua rakan seusianya masih sibuk di bangku sekolah, seorang remaja sanggup meninggalkan kampung halaman demi mengejar cita-cita untuk bergelar juara dunia.

Setelah berjauhan dengan keluarga dan melanjutkan pelajaran di Sekolah Sukan Bukit Jalil, Datuk Azizulhasni Awang yang merupakan anak jati kelahiran Dungun mula mengorak langkah demi langkah dalam sukan berbasikal.

Hasilnya, pelbagai kejayaan dikecapi pelumba bertubuh kecil itu sehingga menggerunkan jagoan berbasikal dari negara Eropah dan diberi gelaran ‘The Pocket Rocketman’.

Kemuncaknya pada tahun 2017 apabila anak kepada bekas anggota tentera itu merangkul pingat emas acara keirin pada Kejohanan Dunia di Hong Kong sekali gus menyarung jersi pelangi yang menjadi dambaan pelumba seluruh dunia.

Kini menduduki ranking kelima dunia dalam acara keirin dan keempat dalam acara pecut, beliau sekali lagi menjadi tumpuan lebih 32 juta rakyat Malaysia dalam misi emas Sukan Olimpik di Tokyo.

Pukul 2.30 petang nanti, beliau akan memulakan pusingan kelayakan acara pecut sebagai pemegang rekod Asia dengan masa 9.548 saat yang dicatatnya di Kejohanan Dunia pada tahun lalu.

Acara kegemarannya, keirin pula kemudian membuka tirai pada Sabtu ini dengan bapa kepada dua orang anak tersebut turun selaku pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016.

Misi beliau cuma satu, memastikan lagu ‘Negaraku’ berkumandang di Veledrom Izu dan membanggakan keluarga yang melepaskannya pada usia 16 tahun demi negara.

“Saya tidak rasa Tokyo adalah temasya Olimpik terakhir kerana masih dahagakan kejayaan dan sanggup berbuat apa saja demi Malaysia.

“Walaupun ini adalah penampilan keempat di pentas Olimpik, kalau boleh saya mahu beraksi lagi di Paris pada 2024,” jelasnya sebelum berangkat ke Tokyo, baru-baru ini.

Kepada rakyat Malaysia, itu lah semangat yang ada pada Azizulhasni. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI