fbpx

Agong akan tentukan PN tumbang atau sebaliknya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NASIB kerajaan PN bakal ditentukan oleh budi bicara Yang di-Per­tuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Keputusan sama ada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin masih lagi sah atau telah tumbang perlu ditentukan oleh Yang di-Per­tuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Marthada Mohamed berkata, susulan itu, Istana Negara perlu mengesahkan terlebih dahulu sama ada telah me­nerima Surat Akuan Ahli-Ahli Parlimen UMNO.

“Selepas itu, terpulang kepada Al-Sultan Abdullah untuk menggunakan kuasa budi bicara ba­ginda dalam membuat perhitu­ngan terhadap kerajaan PN sama masih mempunyai sokongan atau sebaliknya.

“Jadi, terpulang kepada ba­ginda untuk menerima surat akuan itu dan membuat penilai­an sama ada PN telah hilang majoriti atau masih lagi sah sebagai sebuah kerajaan,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong mempunyai pelbagai ­ka­edah dalam menentukan status kerajaan PN seperti yang dilakukan sebelum ini ketika mahu melantik Muh­yiddin sebagai Perdana Menteri.

“Situasi sama mungkin dilalui Al-Sultan Abdullah dalam menentukan taraf kerajaan PN, saya percaya baginda akan gunakan kaedah sama seperti sebelum ini.

“Jika diimbas semula, ketika Pakatan Harapan (PH) berdepan situasi sama, baginda memanggil semua Ahli Parlimen bagi mengesahkan sokongan sebelum keputusan diputuskan,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas me­ngenai surat akuan dikeluarkan UMNO, Ahmad Marthada menyifatkan ia tidak mewakili ke­seluruhan Ahli Parlimen UMNO termasuk yang berada dalam Kabinet.

“Bagi saya terlalu awal untuk katakan surat itu menyebabkan PN hilang sokongan memandang­kan ia diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi dan bukan keseluruhan pemimpin UMNO.

“UMNO juga tidak boleh mendakwa PN telah tumbang kerana kita tahu sebahagian Ahli Parlimen mereka telah mengatakan sokongan kepada PN sekali gus meragui surat akuan itu,” ­katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI