LONDON – Penyerang Chelsea Tammy Abraham dilaporkan lebih berminat menyertai Arsenal berbanding West Ham jika dia dijual Chelsea pada jendela perpindahan pemain musim ini.
Menurut laporan, The Gunners berminat untuk mendapatkan pemain berusia 23 tahun itu secara pinjaman sebelum membelinya secara tetap musim hadapan.
Juara eropah musim lalu itu, meletakkan tanda harga £40 juta (RM235 juta), namun mereka sedia menerima tawaran lebih rendah sekitar £30 juta (RM176 juta).
Abraham berjaya memikat pengurus Arsenal, Mikel Arteta apabila dia berjaya meledakkan gol kemenangan Chelsea dalam aksi pramusim antara Chelsea dan Arsenal di Emirates baru-baru ini.
Pasukan West Ham, Tottenham Hotspur dan Aston Villa juga menunjukkan minat untuk membawa penyerang England itu ke kelab masing-masing.
Namun, Arsenal dikatakan mendahului saingan untuk mendapatkan tandatangan Abraham menurut sumber West Ham.
“Perpindahan Tammy Abraham dilihat tidak akan menjadi kenyataan. Pemain itu tidak mahu menyertai West Ham.
“Saya rasa dia sudah meletakkan hatinya untuk bermain bersama Arsenal walaupun jika West Ham sedia menunaikan tuntutan gaji yang diinginkannya,” kata sumber itu. – AGENSI