fbpx

8 diberkas terlibat kes pecah rumah di Pontian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara peralatan yang dirampas dipercayai hasil kegiatan jenayah pecah rumah sekumpulan lima lelaki di sekitar daerah Pontian, Johor yang berjaya diberkas 17 Julai lalu.

PONTIAN – Polis berjaya melumpuhkan satu kumpulan yang melakukan jenayah pecah rumah di daerah ini dengan tertangkapnya lima individu dalam serbuan pada 17 Julai lalu di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohamad Shofee Tayib berkata, lima individu yang diberkas terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita warganegara tempatan.

Jelasnya, turut ditahan dua orang lelaki Pakistan dan seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai pembeli barangan yang dicuri oleh kumpulan tersebut.

Kesemua tangkapan berusia 26 hingga 56 tahun.

“Modus operandi (MO) kumpulan ini mensasarkan rumah kediaman yang tidak berpenghuni serta premis-premis perniagaan yang sunyi dan gelap dengan turut mencuri pendawaian rumah atau premis tersebut.

“Kumpulan ini juga mencuri pendawaian elektrik dihampir setiap rumah yang dipecah masuk dan menjualnya kepada orang perseorangan atau pembeli barangan lusuh bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Shofee berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas pelbagai barangan termasuk sebuah amplifier, dua buah speaker, sebuah pemain DVD kereta, sebuah mesin penguli, televisyen serta peralatan untuk memecah rumah.

Ujarnya, semakan ke atas rekod lampau mendapati lima daripadanya merupakan penagih dadah dan memiliki rekod lampau melibatkan kes jenayah harta benda serta dadah.

“Manakala barangan yang dirampas dari pembeli barangan lusuh dan terpakai itu merupakan empat buah rim kereta, gumpalan wayar yang telah dibakar dan satu penimbang digital,” katanya.

Tambah Mohd. Shofee, pihaknya percaya dapat menyelesaikan tujuh kes pecah rumah yang berlaku sebelum ini di daerah Pontian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan pecah rumah.-K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI