GEORGE TOWN – Seramai 20 individu termasuk empat remaja lelaki bawah umur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mengadakan parti di sebuah rumah di Bukit Gambir, Gelugor di sini awal pagi Ahad lalu.
Tertuduh ialah Muhammad Faiz Fazlee, 18; Muhammad Afiq Ali, 19; Fazrul Hisham Faizal, 19; Nor Athirah Farizami Zali Zaidi, 19; Nur Umairah Mohd Rashidi, 19; Noorilyana Sufi Noorhisham, 19, dan Muhammad Aznil Mohd Azmi, 20.
Turut didakwa ialah Muhamad Danial Hakim Jamil, 20; Muhammad Isa Ramli, 20; Mohamad Muhaiman Hassim, 20; Nurul Izzaty Anuar, 20; Mohammad Aidiel Nazeem Farihan, 22.
Tertuduh lain ialah Nur Farah Wahidah Roslee, 23; Nur Amira Mohd Nasir, 24; Mohamad Fekri Amri Mohd Poudzi, 25, dan Nur Farah Hanis Mohd Hazri, 25.
Kesemua mereka termasuk empat remaja bawah umur berusia 17 tahun mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melanggar perintah PKP dengan menyertai parti persendirian untuk berhibur kira-kira pukul 12.30 tengah malam pada 1 Ogos lalu di sebuah rumah di Bukit Gambir, Gelugor di sini.
Tertuduh didakwa di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
Hakim kemudiannya menjatuhi hukuman denda sebanyak RM3,000 kepada 16 tertuduh manakala empat remaja bawah umur dibenarkan diikat jamin sebanyak RM2,000 sementara mahkamah mendapatkan laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum sebutan semula kes pada 7 September ini.
Sementara itu di Mahkamah Majistret, kesemua mereka mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan memiliki dadah iaitu 0.5 gram (g) ketamin, 0.6g methamphetamine dan 0.56g kanabis di tempat dan tarikh yang sama.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 (3), Seksyen 6 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, sepuluh daripada mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengambil dadah mengikut Seksyen 15(1) ADB 1952.
Kes akan disebut semula pada 5 Oktober depan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929