RAUB – Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) yang selesai menanam kira-kira 20,000 pokok hutan Sabtu lalu membina tujuh parit di laluan utama dikenalpasti bagi menghalang kejadian pencerobohan Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam berulang kembali.
Pegawai Pejabat Hutan Daerah Raub, Shahril Mohamad berkata, parit sepanjang 0.9 meter dengan kedalaman 1.52 meter itu dibina bagi memutuskan laluan utama masuk ke kawasan terbabit.
“Kita berharap dengan adanya tujuh parit besar itu HSK Batu Talam tidak lagi diceroboh oleh pihak tidak bertanggungjawab yang hanya mementingkan diri sendiri untuk mengusahakan projek pertanian.
“HSK Batu Talam merupakan kawasan tadahan air yang menjadi sumber bekalan air kepada penduduk daerah ini,”katanya di sini hari ini.
Menurut Shahril, kerja membina parit terbabit dilakukan menggunakan jengkaut yang mengambil masa selama dua hari selepas penanaman pokok hutan selesai Sabtu lalu.
Operasi memusnahkan pokok durian Musang King di kawasan HSK Batu Talam seluas 101 hektar dimulakan pada 3 Julai lalu dan berakhir sembilan hari kemudian.
Susulan itu kira-kira 20,000 pokok hutan seperti meranti, merawan, balau dan keruing ditanam bagi menggantikan kira-kira 15,000 pokok durian musang king yang ditebang.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929