KUALA LUMPUR – Tindakan seorang suri rumah yang memuat naik status jelik menghina Yang di-Pertuan Agong dalam laman sosial Facebooknya Mei lalu, membawa padah apabila dia didenda RM9,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim M.M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Rosmawati Mohd. Zain, 46, selepas ibu empat anak tersebut mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu, dia boleh dipenjara selama enam bulan dan tertuduh membayar jumlah denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Rosmawati didakwa secara sedar dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya menghina Yang di-Pertuan Agong dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui perkhidnatan Facebook dengan menggunakan nama profil ‘Rosmawati Mohd. Zain’.
Hantaran itu dibuat pada 25 Mei 2021 pukul 7.06 malam yang kemudian dibaca pada 1 Jun 2021 pukul 1.06 petang di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.-K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929