NAMA pelakon Balkisyh Semundur Khan mungkin tidak popular seperti nama barisan dramatis lain yang sering menghiasi televisyen.
Keberadaannya dalam industri selama hampir 20 tahun yang ibaratnya tiada tempat di mata karyawan industri pernah memaksa Balkisyh terfikir untuk berundur dan menghilang diri daripada radar seni lakon.
Lewat tahun 2017 lalu, Balkisyh pernah berkongsi kisah hidupnya yang terpaksa membuka gerai menjual nasi ayam apabila tidak mendapat sebarang tawaran berlakon selama tiga tahun.
Ketika itu dia tiada tawaran lakonan selain daripada membintangi drama Mok Cun arahan pengarah, Erma Fatima.
Selepas sekian lama menyepi, pelakon berusia 34 tahun itu kini kembali dengan buah tangan baharu, iaitu drama berjudul Lockdown juga karya Erma.
Dia gembira kembali beraksi selepas melewati episod duka selama ini.
Lebih membuatkan dia terharu, Lockdown merupakan drama pertama yang ditawarkan kepadanya selepas sekian lama ketandusan pekerjaan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu.
“Saya sangat gembira. Ini merupakan drama pertama saya selepas sekian lama tidak mendapat apa-apa tawaran berlakon.
“Saya gembira dapat jumpa semula rakan-rakan lama yang memang saya rindui. Ketika menjalani penggambaran, saya dapat rasai semula kegembiraan yang pernah saya rasai sebelum ini dalam industri,” jelasnya.
Pada masa sama, Balkisyh tidak dapat menyembunyikan rasa hiba apabila masih diberi peluang untuk menghiburkan orang ramai.
“Mungkin orang lain berfikir perjuangan saya dalam industri sangat kecil. Tetapi bagi saya, bila saya dapat kembali peluang beraksi di hadapan kamera, saya sangat bersyukur.
“Sebab bukan senang untuk saya dapat peluang ini. Saya sendiri berasa teruja dapat kembali berlakon,” katanya.
Ketika diminta untuk menceritakan lebih lanjut apa yang dialaminya sebelum ini, Balkisyh seakan-akan sukar untuk menceritakan keseluruhan apa yang berlaku.
Namun yang pasti, kepayahan yang dialaminya kedengaran sulit sehinggakan gagal menahan air mata semasa temu bual virtual baru-baru ini.
“Sepanjang PKP, saya memang ada pengalaman hidup ngeri yang harus diselesaikan. Saya pun ada kesilapan yang saya buat ketika berada dalam industri sehingga membuatkan orang tidak mahu ambil saya berlakon.
“Ada sebab tertentu (enggan menceritakan). Saya pun tidak faham. Mungkin ada salah faham antara saya dengan pihak produksi. Mungkin pada saya kesalahan yang saya lakukan itu kecil, namun besar bagi orang lain. Saya akuinya,” jelas Balkisyh.
Disebabkan itu, Balkisyh reda jika tidak lagi berada dalam industri dan akan meneruskan kehidupannya dengan perniagaan secara kecil-kecilan.
“Saya berusaha mencari peluang perniagaan. Jual barang, jual air balang di kaki lima di Singapura demi menyara anak.
“Saya gembira dengan kehidupan saya ketika itu sehinggalah PKP dilaksanakan kerana Covid-19.
“Aliran tunai saya sekali lagi terganggu. Tetapi Allah SWT menukar rezeki saya apabila dapat tawaran untuk berlakon semula menerusi drama Lockdown,” katanya.
Balkisyh ketika ditemui pada sidang media secara dalam talian, Lockdown baru-baru ini berpendapat, kepayahan yang dilaluinya satu tempoh bertenang untuknya.
“Pandemik Covid-19 ini mendidik saya untuk tidak terlalu fikir ikut perasaan. Jangan fikir tentang diri sendiri sahaja.
“Tempoh PKP ini juga sebenarnya banyak membawa saya kembali semula ke pangkal jalan,” ujarnya sambil mengesat air mata.
Akui Balkisyh, keperitan realiti hidupnya dicurahkan dalam karakter Sue yang dibawa dalam drama Lockdown.
“Saya lakonkan watak Sue dengan sepenuh hati. Semua kesedihan yang pernah saya lalui, dicurahkan untuk watak berkenaan,” katanya.