fbpx

Peguam `Buzze Azam’ didakwa buat kenyataan jelik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Khairul Azam ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Peguam Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat kenyataan jelik berkenaan sistem kehakiman negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman Facebook miliknya, Mac lalu.

Aktivis berusia 44 tahun itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain menggunakan laman profil Facebook dengan nama `Buzze Azam’ pada 1.04 petang, 24 Mac lalu.

Hantaran itu kemudian telah dibaca di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pada 3.50 petang, 25 Mac lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin.

Hakim M. M. Edwin Paramjothy membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 September ini untuk sebutan kes.

Pada 24 Mac lalu, Mohd. Khairul Azam dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan membuat kenyataan yang mengapi-apikan orang Melayu dengan kaum Cina dan India, selepas Jabatan Peguam Negara meneliti representasi daripada pembelaan dan menarik balik pertuduhan terhadap peguam itu.K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI