TOKYO – Sebuah pantai di Jepun menjadi lokasi tumpuan pelancong kerana keunikan pasirnya yang berbentuk seperti bintang kecil, lapor portal Oddity Central, kelmarin.
Pantai Hoshizuna-no-Hama yang bermaksud Pantai Pasir Berbentuk Bintang terletak di Irimote, pulau kedua terbesar di wilayah Okinawa.
Hamparan pasirnya menerusi mata kasar kelihatan sama seperti pasir biasa, namun jika diasingkan dan dilihat dengan teliti, pengunjung akan menyedari bentuk bintangnya.
Pembentukan pasir bintang adalah disebabkan pantai Hoshizuna-no-Hama terdiri daripada berbilion-bilion eksoskeleton foraminifera iaitu protozoa laut yang tumbuh subur di dasar laut.
Cengkerang kalsium karbonat protzoa itu terus melekat selepas ia mati dan dihanyutkan ke pantai yang mewujudkan keajaiban semula menakjubkan ini.
Berukuran hanya beberapa milimeter, butiran pasir berbentuk bintang sangat sukar untuk diperhatikan pada mulanya namun apabila diasingkan di tapak tangan, ia akan semakin jelas kelihatan.
Ramai pengunjung datang ke Hoshizuna-no-Hama semata-mata untuk ‘memburu’ pasir berbentuk bintang tertentu.
Disebabkan itu, pihak berkuasa tempatan melarang orang ramai membawa pulang bungkusan pasir unik itu bersama mereka.
Hoshizuna-no-Hama adalah pantai pasir bintang paling terkenal di Okinawa namun masih terdapat beberapa pantai pasir bintang di pulau-pulau berdekatan iaitu Taketomi, Tokashiki dan Hatoma. – Agensi