fbpx

KPT bantu PPN menerusi Kempen Mesti Menang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noraini Ahmad

PUTRAJAYA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) terus komited membantu Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebagai strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik Covid-19.

Selaras itu, KPT melancarkan Kempen Mesti Menang hari ini sebagai satu usaha menyokong Program Imunisasi Nasional Covid-19 (PICK).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, kempen itu akan dipersembahkan kepada umum melalui video-video pendek yang berdurasi tidak lebih dari tiga minit sebagai memperlihatkan usaha-usaha KPT untuk membantu PPN.

“Pada kesempatan ini, sukacita saya ingin mengumumkan bahawa KRU Music juga telah mencipta lagu tema ‘Mesti Menang’ bagi memberi penghayatan bermakna dalam menjayakan objektif dan matlamat kempen ini.

“Sekalung penghargaan kepada rakan-rakan strategik kita iaitu KRU dan Media Mulia Sdn. Bhd. yang menyediakan platform penyiaran bagi menyebar luaskan lagi program ini kepada masyarakat keseluruhannya,” katanya ketika berucap melancarkan kempen itu secara maya di Facebook KPT hari ini.

Noraini berkata, pengisian kempen itu antara lain merangkumi topik kesedaran pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan meningkatkan kefahaman orang awam mengenai bahaya Covid-19.

Beliau berkata, kempen itu juga akan menggalakkan orang ramai supaya mendaftarkan diri untuk divaksin melalui aplikasi MySejahtera.

Menurutnya, KPT juga akan menyiarkan dan berkongsi klip-klip penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang kini sedang berjuang melawan penularan wabak Covid-19.

“Klip video Kempen Mesti Menang akan disiarkan melalui platform media sosial dan boleh ditonton di lebih 360 platform penstriman di seluruh dunia seperti Spotify, iTunes, Apple Music, Deezer dan Joox,” katanya.

Katanya, Kempen Mesti Menang yang dirangka akan memberi tumpuan kepada empat fokus utama iaitu peranan hospital pengajar universiti, penyediaan pusat pemberian vaksin institusi pendidikan tinggi (PPV IPT), kesukarelawan dan inisiatif Food Bank. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI