fbpx

Koleksi inspirasi ikan laga jadi taruhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KOLEKSI Atilia X Batik Boutique diinspirasikan daripada keindahan dan semangat juang ikan laga.

KEINDAHAN ikan laga dengan warna-warna yang sangat cantik dan semangat perjuangannya menyebabkan ia diangkat sebagai inspirasi dalam penghasilan koleksi fesyen oleh Atilia Haron bersama Batik Boutique.

Dia yang merupakan guru yoga melancarkan kapsul koleksi dikenali sebagai Atilia X Batik Boutique dengan memberi penekanan elemen ikan laga itu dan juga keindahan batik tempatan.

Koleksi kapsul tersebut menampilkan tikar yoga, baju dan aksesori batik untuk memberi keceriaan kepada orang ramai di kala menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh yang sangat panjang ini.

Atilia mendapat cetusan idea daripada ikan laga miliknya jenis betta splenden yang menjadi simbol kepada pejuang yang cantik.

REKAAN kimono yang anggun dengan warna berani dilengkapkan dengan aksesori pengikat kepala menambah gaya kepada si pemakai

Sehubungan itu, besar harapannya agar cetakan bermoti­fkan ikan laga itu dapat memberi semangat perjuangan yang tinggi dan menjadikan diri lebih bersemangat.

Percikan warna hitam, merah, oren dan emas memberikan aura kekuatan kepada si pemakai.

“Saya memilih rekaan dan warna-warna sedemikian untuk koleksi ini kerana ia mempunyai kekuatan tersendiri.

Secara tidak langsung, ia memberi semangat untuk terus berjuang apatah lagi dalam kehidupan yang sangat mencabar pada ketika ini.

“Koleksi ini bukan hanya memberi kekuatan kepada si pemakai, tetapi juga kepada para artisan batik yang terlibat dalam membuat rekaan ini,” katanya yang juga seorang penyanyi dan pelakon.

Di samping rekaan tikar yoga, koleksi Atilia X Batik Boutique juga menampilkan kimono batik lukisan tangan dengan potongan yang minimalis, tetapi mempunyai tarikan tersendiri.

“Ia kini mudah digayakan ke mana sahaja tanpa perlu mengambil masa yang lama, tetapi tampil bergaya,” jelasnya.

Bertepatan dengan keperluan semasa, koleksi tersebut juga turut dilengkapkan dengan pelitup muka tiga lapisan juga bermoti­fkan ikan laga.

Setiap pelitup muka itu didatangkan dengan beg untuk menyimpannya dan ia diperbuat daripada bahan mudah terurai untuk kelestarian alam.

MEMENUHI keperluan semasa, koleksi itu turut menampilkan pelitup muka bercorak ikan laga yang unik dan menarik.

Sebagai penambah gaya, juga terdapat pengikat kepala daripada fabrik sutera agar tampil kemas dan bersemangat ketika menjalani senaman yoga serta boleh digayakan secara santai di mana sahaja.

Koleksi itu juga menawarkan kit lukisan batik DIY yang menggunakan corak ikan laga untuk menjadi terapi bagi menenangkan fikiran dan mengurangkan tekanan.

Kit lukisan batik itu didatangkan dengan set lengkap dan pengguna hanya perlu menyediakan air.

Dalam pada itu, Atilia X Batik Boutique juga menghasilkan beg untuk memudahkan pengguna meletakkan barangan keperluan harian yang diperbuat sepenuhnya menggunakan batik kapas Malaysia.

Setiap produk itu mempunyai cerita dan ia dilukis tangan oleh artisan batik tempatan dan dijahit oleh komuniti wanita yang kurang bernasib baik.

Sehubungan itu, setiap pembelian itu turut membantu artisan batik dan komuniti tersebut.

Koleksi ikan laga tersebut boleh dibeli secara online di www. thebatikboutique. com.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI