PETALING JAYA – Bengang menerima mesej berbaur lucah serta kata-kata kesat dalam Instagram, penyanyi dan pelakon Linda Rafar bertindak membuat laporan polis terhadap individu biadap yang tidak dikenalinya itu.
Menerusi satu hantaran dalam Instagramnya, Linda memberitahu dia tidak tahu apakah tujuan sebenar individu tersebut berbuat demikian dan menegaskan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
“Undang-undang negara tetap ada. Jangan ingat dengan cara menyebar fitnah secara terang-terangan dalam Twitter, Facebook dan Instagram anda semua boleh terlepas ya.
“Walau gunakan fake account (akaun palsu), jangan fikir awak semua boleh terlepas hukuman dunia. Tunggu dan lihat. Allah SWT Maha Melihat,” tulisnya.
Pada hantaran sama, Linda yang merupakan kakak kepada pelakon Diana Rafar turut memuat naik foto laporan polis yang dibuat dan tangkap layar mesej yang dihantar individu itu.
Terdahulu, Linda atau nama sebenarnya Azlinda Rafar memuat naik satu video berkenaan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Mahiaddin Yassin dalam akaun Instagram miliknya.
Menerusi video tersebut, Linda memohon kepada rakyat agar berfikir terlebih dahulu mengenai jasa dan pengorbanan Mahiaddin sebelum mereka mengeluarkan sebarang kata-kata kesat dalam media sosial.
Susulan daripada video tersebut, Linda menerima satu DM (direct message) daripada individu yang tidak dikenali yang dipenuhi kata-kata kesat serta berbaur lucah.
Melihat pada ruangan komen, rata-rata netizen terkejut melihat DM yang dihambur kepada Linda dan menyifatkan individu tersebut sebagai tidak matang dan membenci kerajaan. – K! ONLINE