PETALING JAYA – Selangor FC meneruskan momentum terbaik mereka dengan kemenangan 2-0 ke atas UITM FC pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi.
Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut skuad Gergasi Merah selepas terdahulu berpesta gol membelasah pasukan utara tanah air, Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Sabtu lalu.
Dalam aksi malam tadi, Selangor yang menguasai sebahagian besar babak pertama tidak berdepan masalah untuk membuka tirai jaringan menerusi pemain pertahanan tengah, Sharul Nazeem Zulpakar pada minit ke-24.
Ia berpunca daripada kegagalan pemain-pemain UITM mengawal Sharul Nazeem yang mudah merembat masuk hantaran cantik daripada sepakan percuma Oliver Buff.
Skuad bimbingan Karsten Neitzel itu meraih gol kedua hasil gerakan serangan yang menarik menerusi hantaran pendek antara tiga hingga empat pemain sebelum ia disudahkan dengan baik oleh Ifedayo Olusegun.
Ifedayo tidak mensia-siakan hantaran daripada pemain import Myanmar, Hein Htet Aung pada minit ke-57 untuk meledak jaringan peribadi ke-17 musim ini.
UITM yang masih gagal merekodkan kemenangan daripada 16 aksi Liga Super setakat ini, harus menyalahkan diri sendiri kerana gagal menyudahkan setiap peluang dimiliki termasuk situasi satu lawan satu dengan penjaga gol Selangor.
Rentak kemenangan itu sememangnya diperlukan Selangor untuk kembali mengutip mata penuh dalam setiap perlawanan jika berhasrat mencabar kelompok tiga teratas Liga Super musim ini.
Ia bagi membolehkan Selangor terus menghidupkan peluang mereka dalam perebutan ke Piala AFC musim depan meskipun pasukan tempat ketiga, Kedah Darul Aman FC kekurangan empat perlawanan ketika ini. – K! ONLINE