Platform PKS
PETALING JAYA – Bagi mereka yang beriltizam tinggi dalam dunia perniagaan, benda biasa digunakan dalam aktiviti harian masyarakat sebagai idea dan pendapatan bagi mereka.
Sebagai contoh sebuah rumah yang menjadi tempat berteduh untuk semua individu akan melibatkan pelbagai bidang lain yang berkaitan seperti seni hiasan dalaman, pendawaian dan perabot menawarkan rezeki bagi mereka yang pandai mengambil peluang tersebut.
Bersandarkan kepada ruang dan peluang keemasan tersebut, Pengarah Urusan FM Plastic Industries Sdn. Bhd. (FM Plastic), Datuk Sharifuddin Musa mencuba nasibnya untuk memulakan perniagaan awalnya sebagai pelukis pelan sehinggalah beliau kini berjaya membina empayar yang kukuh dalam bidang pembuatan plastik.
FM Plastic adalah anak syarikat Federal Malay Holdings Group.
Anak kelahiran Marang, Terengganu yang menceburi bidang plastik sejak 20 tahun lalu mendapati plastik adalah perkara utama digunakan masyarakat dalam kehidupan harian mereka.
Jerih perih yang dilaluinya selepas menamatkan pelajaran dengan kelulusan Sijil Rendah Pelajaran bermula dengan pelbagai kerja yang dilakukan termasuklah menjadi penghantar surat dan barangan, buruh binaan, pekerja dewan makan dan juga menjadi pelukis pelan.
Namun minatnya dalam bidang seni lukis telah membolehkan beliau mengguna pakai bakat semula jadinya untuk mencari rezeki setelah mendapat kepercayaan daripada seorang pelanggan untuk menukar pelan rumah setinggan kepada sebuah rumah teres satu tingkat.
“Bermula di situ saya berasa yakin bahawa hobi berkaitan dengan bidang seni yang saya minati selama ini bakal menjana pendapatan baik.
“Ketika itu, ramai tuan rumah di sekitar Bukit Belacan, Ampang ingin menukar rumah papan kepada rumah batu, jadi saya rebut peluang tersebut dan berjaya membina sehingga 30 buah rumah batu baharu di kawasan tersebut.
“Purata keuntungan sebuah rumah pada waktu itu adalah antara RM5,000 sehingga RM30,000 yang mana bagi seseorang yang baru berusia 18 tahun, pendapatan tersebut memanglah sesuatu yang amat luar biasa,” katanya dalam temu bual secara maya baru-baru ini.
Langkah kanan beliau diteruskan pula dengan menceburkan diri dalam sektor pembekalan makanan.
Hasil usahanya itu, syarikat berjaya mendapatkan tender membekal bahan mentah kepada pelbagai agensi kerajaan.
Pada Oktober 2005, Sharifuddin, 49, mengorak langkah lebih agresif dalam bidang pembuatan plastik dengan penubuhan FM Plastic.
Pihak pengurusan telah membuat penstrukturan semula syarikat bagi memastikan ia lebih berdaya saing dan mampu menjana pendapatan melalui kos yang minima serta tidak mengabaikan keselamatan dan kebajikan kakitangannya.
Buat masa sekarang, Sharifuddin memiliki enam buah kilang lain yang mengeluarkan plastik tahan lasak dan ringan di beberapa kawasan di Lembah Klang.
FM Plastic kini menjadi peneraju kilang plastik terbesar di Pantai Timur dengan menghasilkan jualan plastik tahan lasak bernilai RM13 juta setahun.
Kilang yang beroperasi sejak 16 tahun lalu di kawasan perindustrian Jakar 3, Kemaman itu juga menjadi pembekal utama plastik tahan lasak kepada Petronas di bawah Vendor Development Program (VDP)
“Program ini banyak membantu kami untuk lebih berdaya saing dalam meneroka pasaran dalam dan luar negara.
“Petronas juga sentiasa memantau perkembangan syarikat dan sentiasa memastikan VDP terus menerima sokongan daripada aspek latihan, pembinaan kapasiti, pembangunan dan galakan produk serta promosi pasaran bagi vendor bumiputera,” ujarnya.
Selain itu, dalam usaha mengukuhkan perniagaannya dalam industri mencabar, syarikat juga kini menjadi satu-satunya syarikat bumiputera yang memiliki pensijilan halal dalam pembuatan plastik halal.
“Untuk bersaing dalam industri ini, mendapatkan pensijilan halal adalah satu keunikan kami, ia memberi peluang kepada syarikat untuk memenuhi permintaan pasaran yang terus bertambah di dalam dan luar negara,” jelasnya.
Terkini, syarikat telah terpilih dalam projek SIRIM Intelligent Energy Management System for Electricity Peak Shaving demo Plant di bawah Program SIRIM Fraunhofer.
Sharifuddin menerangkan, menerusi projek tersebut, pelanggan akan dapat menjimatkan penggunaan tenaga elektrik, mengurangkan kos kehendak maksima tertinggi.
Ia juga akan dapat memantau penggunaan tenaga kilang secara jarak jauh pada setiap masa menerusi telefon pintar.
Tambah beliau, projek ini menunjukkan komitmen yang tinggi daripada FM Plastic terhadap kesedaran kepentingan kelestarian serta kecekapan dan penjimatan di dalam pengurusan tenaga.