KANGAR – Polis menafikan dakwaan kononnya terdapat penduduk Bukit Malut, Langkawi yang lolos ke Kuala Perlis dekat sini seterusnya menyebabkan kes positif Covid-19 di negeri ini meningkat.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, dakwaan mengatakan penduduk Bukit Malut lari ke Kuala Perlis setelah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 27 Julai lalu tersebut adalah tidak benar.
“Perkara itu tidak benar. Saya telah mendapatkan pengesahan daripada anggota polis, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Maritim Malaysia (APMM) dan memang tiada kemasukan (penduduk Bukit Malut),” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penyebaran maklumat menerusi aplikasi WhatsApp kononnya kes Covid-19 di Perlis meningkat disebabkan penduduk Bukit Malut yang melarikan diri ke Kuala Perlis.
Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, sejak beberapa hari lalu, rancak diperkatakan ada penduduk Bukit Malut yang lolos menggunakan bot-bot ikan untuk mencari perlindungan di Kuala Perlis.
“Saya beranggapan bahawa situasi ini tidak mustahil boleh berlaku, jika disahkan berlaku dan ada individu-individu terbabit dilihat di tempat tertentu, saya harap orang awam dapat melaporkannya kepada pihak berkuasa terutama polis,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929