Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
STRATEGI bertahan yang digunakan Sabah FC berjaya membantu mereka mencuri satu mata ketika seri 0-0 dengan Terengganu FC (TFC) di gelanggang lawan pada semalam.
Pengendalinya, Kurniawan Dwi Yulianto mengakui terpaksa memilih jalan sukar untuk menyerap serangan TFC dengan ketiadaan lima tonggak utama akibat penggantungan perlawanan dan kecederaan.
Ketua jurulatih kelahiran Indonesia itu berkata, kecederaan penyerang, Josip Ivancic, pada babak pertama memburukkan lagi keadaan sewaktu taktikal Sabah ialah menunggu peluang bagi melancarkan serangan balas.
“Corak permainan menyerang TFC sudah dijangka. Jadi kami memberi perhatian kepada aspek bertahan sebelum memasukkan Amri Yahyah dan Saddil Ramdani pada babak kedua.
“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan kerja keras pemain mendapat satu mata berharga dari tempat lawan,” kata ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus kelmarin.
Kurniawan berkata, meskipun masih kemarau kemenangan dalam empat perlawanan terakhir, Sabah masih kekal dengan sasaran lima kedudukan teratas pada saingan Liga Super musim ini.
Sementara itu jurulatih TFC, Nafuzi Zain enggan menjadikan ketiadaan perancang, Makan Konate sebagai punca kebuntuan Sang Penyu mencipta gerakan menarik membolosi gawang lawan.
Sebaliknya Nafuzi berpendapat TFC sepatutnya lebih berhak untuk memenangi aksi tersebut, namun dikecewakan dengan ketumpulan serangan diketuai kapten, David Da Silva.
“Kami melepaskan banyak peluang dan pemain-pemain sudah memberikan yang terbaik tetapi keputusan masih tidak memihak TFC,” ujarnya.