KUALA LUMPUR – Seramai 11 individu dipercayai penganjur perhimpunan ‘KELUAR dan #LAWAN’ di Dataran Merdeka pada Sabtu lalu hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.
Tinjauan Kosmo! mendapati, kesemua mereka hadir bersama peguam masing-masing sekitar pukul 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari bagi membantu siasatan berhubung penganjuran dan perhimpunan berkenaan.
Jurucakap Sekretariat Solidariti Rakyat, Mohammad Asraf Sharafi berkata, pihaknya memberikan keterangan pada pukul 10.30 pagi tadi dan proses merakam percakapan dibuat lebih dua jam.
“Pihak polis menyatakan siasatan dilakukan mengikut Akta 342 selepas dikatakan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)
“Bagi kami, perhimpunan tersebut sudah mematuhi segala SOP dengan menyediakan pelitup muka dua lapis, sarung tangan, penghadang muka (face shield),” katanya ketika sidang akhbar selepas selesai memberikan keterangan di sini hari ini.
Menurutnya, peserta perhimpunan juga dipantau oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang secara dasarnya mengesahkan bahawa kami mematuhi segala SOP ditetapkan.
“Apa yang penting adalah menuntut supaya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, meletakkan jawatan dengan segera.
“Kami akan terus mengadakan bantahan sehinggalah Muhyiddin melepaskan jawatannya sebagai aspirasi dari suara anak Muda,” ujarnya.
Tambah Mohammad Asraf, pihaknya tidak menolak akan terus mengadakan himpunan ‘Keluar dan #Lawan namun tidak menyatakan masa dan tarikh.
Kosmo! semalam melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengenal pasti 29 individu yang akan dipanggil untuk melengkapkan siasatan berhubung penganjuran perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan’ di ibu negara, semalam.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata, pihaknya dalam proses mengesan beberapa lagi individu berdasarkan rakaman video dan gambar.
“Kami menerima lebih 20 laporan polis di seluruh negara bagi membantah penganjuran perhimpunan ‘Keluar dan #Lawan yang diadakan di ibu negara, semalam.
“Semua individu yang terbabit diminta memberikan kerjasama dalam siasatan penganjuran perhimpunan berkenaan,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929