LONDON – Agensi risikan Britain, MI5 menerusi kemas kini Instagram rasminya memperkenalkan satu pasukan khas alam sekitar bergelar Team Green, lapor Daily Star kelmarin.
Kumpulan ejen yang bertugas dalam Team Green akan bertanggungjawab mengutip sampah di taman-taman dan lokasi tumpuan pelancong.
Kumpulan perisik yang menjalankan kerja-kerja mengutip sampah itu adalah mereka yang secara sukarela berikrar untuk mempertahankan ‘kelestarian’ alam semula jadi Britain.
Meskipun pengenalan pasukan tersebut adalah antara alternatif menjadikan Perkhidmatan Keselamatan itu lebih mesra alam, ia menimbulkan kegelisahan ia bakal menjatuhkan reputasi gah agensi risikan tersebut.
“Bayangkan reaksi Presiden Rusia, Vladimir Putin jika berita agen perisik MI5 jadi pengutip sampah. Ia akan jadi bahan gurauan satu dunia.
“Saya tidak pernah terfikir bahawa MI5 akan menjadikan perkara-perkara ini sebagai satu daripada keutamaannya,” kata seorang sumber perisik kanan. – AGENSI